22 February, 2008

Fong beralah, setuju pertahan Batu Gajah


Feb 22, 08 2:12pm

Penyandang Batu Gajah, Fong Po Kuan, yang pada awalnya enggan mempertahankan kerusi parlimen itu tiba-tiba hari ini mengumumkan bertanding di situ.

Ahli politik muda wanita DAP itu, yang menang dua penggal berturut-turut sejak 1999, menyatakan keputusan terbarunya dalam sidang media tadi.

"Saya berjanji akan terus mendukung tanggungjawab berada di depan bersama rakyat Malaysia demi kebaikan generasi akan datang.

"Maka, saya bersedia terus mewakili suara pengundi Batu Gajah dan semua warga Malaysia di Parlimen," katanya, membacakan kenyataan bertulis enam perenggan.

fong poh kuanAhad lalu, Fong membuat keputusan mengejut apabila enggan bertanding lagi di mana-mana kerusi. Keputusannya itu dipercayai akibat permainan politik dalaman parti itu.

Beliau turut mengulangi pendiriannya itu pada Selasa lalu melalui kenyataan ringkas di blognya, 'Chamber of Thoughts' (pokuan.blogsome.com).

Blog milik pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang hari ini turut memuatkan pengumuman ringkas kembalinya Fong dalam senarai calon parti itu.

DAP sebelum ini menyatakan kebimbangannya kerusi itu bakal jatuh ke tangan BN jika Fong tidak bertanding di di situ.

Susulan keengganan Fong itu, pemimpin-pemimpin BN cepat menyerang DAP dengan menyifatkan parti itu sedang mengalami perpecahan dan "kelam-kabut".

Di sidang media itu, Fong menyatakan beliau mengubah fikirannya selepas menerima banyak sokongan orang ramai kepadanya.

"Sebetulnya sokongan besar mereka itu sangat-sangat menyentuh perasaan saya yang menjadikan saya terfikir untuk tidak menghampakan mereka," tambahnya.

Beliau juga meluahkan permohonan maaf kepada parti, pengundi dan penyokong parti itu susulan pengumumannya Ahad lepas.

Fong terus menghilangkan diri selepas pengumuman tersebut.

Selain Lim, turut hadir di sidang media itu penyandang kerusi Ipoh Barat, M Kulasegaran.

Kira-kira 150 penyokong dan wartawan mengerumuni bilik gerakan DAP Perak di Ipoh untuk mengikuti perkembangan terbaru itu.

No comments: