23 February, 2008

Orang yang berhak untuk mengundi sebagai pengundi pos

AKTA PILIHAN RAYA 1958
PERATURAN-PERATURAN PILIHAN RAYA (PENGUNDIAN POS) 2003

BAHAGIAN II

PENGUNDI POS

Orang yang berhak untuk mengundi sebagai pengundi pos

3. (1) Mana-mana orang yang telah mendaftarkan diri sebagai sebagai seorang pemilih Parlimen atau Negeri di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, dan ialah-
(a) seorang pengundi tak hadir;

(b) seorang yang diperakui oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai seorang pegawai pilihan raya dan kena menjalankan tugas pada hari mengundi;

(c) seorang anggota mana-mana pasukan polis yang ditubuhkan oleh mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Malaysia, selain seorang anggota Pasukan Polis Sukarela Simpanan;

(d) seorang anggota mana-mana perkhidmatan awam yang pada hari mengundi diambil bekerja sepenuh masa dalam suatu jawatan di luar Semenanjung Malaysia atau Sabah atau Sarawak;

(e) seorang anggota Suruhanjaya Pilihan Raya yang dilantik di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan; atau

(f) seorang anggota mana-mana kategori orang yang ditetapkan sebagai pengundi pos oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dari semasa ke semasa melalui pemberitahuan dalam Warta, adalah, apabila diterimanya suatu kertas undi pos, berhak untuk mengundi sebagai pengundi pos pada sesuatu pilihan raya mengikut Peraturan-Peraturan ini.
(2) Orang yang disebut dalam perenggan(1)(b),(d),(e) dan (f) yang berhasrat untuk mengundi melalui pos hendaklah memohon untuk berbuat demikian dengan menggunakan Borang 1 dalam Jadual.

(3) Permohonan itu hendaklah dibuat terus kepada pegawai pengurus bahagian pilihan raya tempat dia didaftarkan melalui mana-mana Pegawai Pilihan Raya Negeri sesuatu Negeri sebaik sahaja diketahui bahawa suatu pilihan raya dipertandingkan dalam bahagian pilihan raya itu.

(4) Jika sesuatu permohonan diluluskan, pegawai pengurus hendaklah mengeluarkan suatu kertas undi pos kepada pemohon dan jika pemohonan itu tidak diluluskan, pegawai pengurus hendaklah memberitahu pemohon sedemikian dan hendaklah menyatakan alasan-alasannya untuk tidak meluluskan permohonan itu dalam surat yang ditetapkan dalam Borang 1.

Bentuk kertas undi pos

4. Kertas undi yang dihantar kepada pengundi pos hendaklah dalam bentuk yang sama dengan, dan tidak boleh berbeza daripada, kertas undi yang dihantarserahkan kepada pengundi lain.

No comments: