29 February, 2008

Misbahul Munir dijulang pemuda India

Johari Jaafar
Fri | Feb 29, 08 | 3:07:46 pm MYT

RUNGKUP, 29 Feb (Hrkh) - Buat sekian kalinya calon PAS dikalungkan bunga dan dijulang oleh pemuda-pemuda India pada hari penamaan calon. Inilah yang terjadi di Bagan Datuk, apabila calon PAS untuk kerusi Rungkup, Misbahul Munir Masduki dijulang oleh pemuda-pemuda India sejurus disahkan bertanding menentang calon BN di kawasan itu.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak cukup terharu dengan sambutan kaum India terutama pemuda-pemuda India yang memberikan sokongan padu kepada beliau dan calon PKR.

"Inilah julung-julung kalinya saya dijulang oleh pemuda-pemuda India pada hari penamaan calon, ini menandakan satu kebangkitan rakyat dan sesuatu yang cukup positif kepada kemenangan BA di Perak," ujar beliau.

Slogan 'Makkal Sakhte' bergema di hari penamaan calon dan ini bagaikan satu 'igauan' yang akan menghasilkan kemenangan kepada BA.

Beliau melahirkan rasa terima kasih di atas penghormatan dan sokongan kaum India kepadanya dan berjanji jika dikurniakan kemenangan oleh Allah, beliau akan menjalankan tugas dengan baik seerta membela nasib mereka yang tertindas dan tidak upaya tanpa mengira bangsa termasuk kaum India yang menyokongnya,

Mengenai manifesti BN, Misbah turut mempertikaikan slogan BN Selamat, Aman dan Makmur itu.

"Negara ini tidak selamat lagi, rakyat sering ketakutan dengan meningkatnya jenayah sehinggakan bekas Ketua Polis Negara pun merasa tidak selamat," ujarnya.

Menurut beliau, apa maknanya makmur jika rakyat terus hidup dalam keperitan dan kesengsaraan dengan tekanan kos hidup yang meningkat, harga barang-barang yang meningkat dan kenaikan harga minyak.

"Apa maknanya aman tetapi apabila perhimpunan aman untuk menyatakan suara rakyat mendapat tindak balas dengan kasar dari pihak polis dan kerajaan langsung tidak memberikan ruang untuk rakyat berhimpun secara aman," jelasnya.

Manifesto BN ini hanya untuk mengabui mata rakyat dan negara luar kononnya negara ini cukup selamat dan aman tetapi hakikatnya rakyat merasa tidak selamat di negaranya sendiri kerana kadar jenayah terus meningkat, pembunuhan dan kecurian terus meningkat.

"Sebenarnya yang selamat itu ialah pemimpin-pemimpin BN, bila melakukan penyelewengan dan rasuah mereka 'terselamat' kerana kerajaan yang berkuasa sekarang adalah kerajaan yang rasuah dan tidak bertindak kepada pemimpin-pemimpin yang rasuah sehinggakan Tun Mahathir sendiri meminta rakyat tidak menyokong calon yang rasuah walaupun mereka dari BN," katanya. - mns Cetak

No comments: