25 February, 2008

Polis beri amaran jangan main isu perkauman


KOTA BHARU 22 Feb. - Polis memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya jangan cuba membangkitkan isu perkauman sehingga menjejaskan ketenteraman awam semasa berkempen pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja yang cuba membangkitkan perasaan tidak senang antara kaum.

Beliau berkata, bagi memastikan perkara tersebut tidak berlaku, pihak polis menjalankan pemantauan di semua kawasan terutama yang dikategorikan 'panas' sejak Parlimen dibubarkan sehingga hari pembuangan undi, 8 Mac ini.

"Ketua Polis Daerah akan keluarkan permit pada semua pihak yang memohon tetapi permit yang dikeluarkan berdasarkan syarat tertentu, yang paling penting ialah tidak menganggu ketenteraman awam.

"Saya memberi amaran jangan mainkan isu perkauman yang boleh merosakkan keamanan dan pihak polis akan bertindak tanpa memilih bulu, kita bertindak mengikut undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mendengar taklimat pilihan raya yang disampaikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berpuas hati dengan persiapan polis Kelantan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-12 walaupun negeri ini dikategorikan sebagai kawasan panas.

"Saya lihat jentera polis Kelantan berada dalam keadaan siap sedia untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menjamin pilihan raya umum dapat berjalan dengan lancar dan licin bagi membolehkan setiap rakyat yang layak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai untuk membuang undi.

"Bagaimanapun masalah ketenteraman awam bukan sahaja terletak pada pihak polis, tetapi menjadi tanggungjawab bersama semua pihak termasuk calon yang akan bertanding dan yang paling penting penyokong mereka," katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, sehingga kini, pihak polis menerima lapan laporan berhubung kejadian membuang poster dan bendera parti politik yang akan bertanding di negeri ini.

Tambahnya, keadaan tersebut tidak begitu serius dan hanya kes terpencil bagaimanapun pihak polis akan menjalankan pemantauan dari dekat.

Utusan

No comments: