24 February, 2008

Patuhi arahan polis



KUALA LUMPUR 23 Feb. - Polis menasihatkan calon-calon dan penyokong mereka supaya mematuhi peraturan pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa proses penamaan calon, esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ini tanggungjawab semua pihak bagi memastikan proses di 220 pusat penamaan calon di seluruh negara berjalan lancar.

Tegas beliau, peraturan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-12 itu tidak sepatutnya dicemari insiden tidak diingini seperti membaling botol air hingga membawa keadaan di luar kawalan.

''Saya telah mengarahkan semua anggota polis terlibat supaya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengingkari peraturan dan undang-undang.

''Ini penting bagi memastikan proses penamaan calon di seluruh negara esok tidak berlaku sebarang pergaduhan,'' jelasnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Musa menambah, semua anggota polis yang terlibat akan mengawal pusat penamaan calon sejak awal pagi sehingga prosesnya selesai.

Sebelum ini beliau mendedahkan lapan negeri termasuk Kedah dan Selangor dijangka menjadi kawasan panas menjelang tarikh pembuangan undi pada 8 Mac ini.

No comments: